Leave a comment

Adat Perpatih

ADAT PERPATIH
(Suku Biduanda)

Sejarah kedatangan adat perpatih ke N.sembilan adalah berkait rapat dengan kedatangan peneroka-peneroka orang-orang Minangkabau kerana penyerapan adat itu ke dalam masyarakat di sini adalah selaras dengan kedatangan mereka.Penduduk N.Sembilan kebanyakan mereka berasal dari Tanah Minangkabau di Sumatera Barat. Apabila mereka berhijrah ke negeri ini, mereka membawa bersama-sama cara hidup dan warisan kebudayaan yang diamalkan di negeri asal mereka.

N.Sembilan adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang mengamalkan sistem adat perpatih atau dikenali juga sebagai sistem matrilineal, di mana keturunan seseorang itu disusurgalurkan mengikut sebelah ibu(nisab ibu). Adat perpatih dapat dianggap sebagai satu kawalan sosial dan merupakan satu sistem kekerabatan yang amat liberal dan menyeluruh. Justeru itu, terdapat beberapa konsep dalam adat ini yang menunjukkan hubungan kekrabatan seperti jurai, perut, suku dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, dari segi asal-usul adat ini, pada hari ini masyarakat N.Sembilan pada teorinya terpecah kepada 12 kumpulan yang dipanggil suku. Suku adalah merupakan kesatuan yang pada zaman awal berbentuk pengwilayahan yang diberi nama-nama tertentu iaitu:-

(1.) Suku Biduanda/Waris
(2.) Suku Batu Hampar
(3.) Suku Paya Kumbuh
(4.) Suku Mungkal
(5.) Suku Tiga Nenek
(6.) Suku Seri Melenggang
(7.) Suku Seri Lemak
(8.) Suku Batu Belang
(9.) Suku Tanah Datar
(10.) Suku Tiga Batu
(11.) Suku Anak Aceh
(12.) Suku Anak Melaka

Dari segi pentadbiran, adat perpatih adalah adat yang meliputi keseluruhan kehidupan ahlinya. Jadi, disamping mengaturkan kehidupan sosioekonominya, ia juga mempunyai sistem tadbir politik yang tersendiri. Untuk tujuan ini perbilangan adat mengatakan:

Alam beraja
Luak berpenghulu
Suku bertua
Anak buah berbuapak
Orang Semenda tempat semenda
Dagang berpantun
Perahu bertambatan

Ini bermaksud bahawa tiap-tiap luak atau daerah mempunyai seorang ketua atau pemerintah tertentu yang bergelar PENGHULU atau sekarang ini UNDANG. Jawatan undang ini digilirkan di kalangan ahli dalam suku biduanda atau waris.

Dalam sistem adat perpatih penduduk-penduduk dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Kumpulan yang paling asas ialah kumpulan yang dinamakan PERUT.Anggota kumpulan ini terdiri dari keturunan nenek yang satu. Ketua perut ialah seorang lelaki yang dinamakan ibu bapa.Kumpulan yang besar daripada perut dinamakan suku iaitu terdiri daripada perut-perut yang ada tali persaudaraannya. Kedudukan suku adalah di bawah lembaga yang dipilih daripada ahli perut. Pemilihannya adalah mengikut giliran yang telah ditentukan. Di atas lembaga ialah undang, dipanggil Datuk Undang.

Adat ini dilaksanakan hampir sepenuhnya dalam berbagai-bagai aspek kehidupan dalam masyarakat iaitu penentuan pentadbiran, pembahagian kuasa politik, pembahagian dan urusan tanah pusaka, penyusunan prinsip nikah kahwin dan sebagainya. Sebagai suatu peraturan hidup yang berdasarkan kepada kepentingan bersama bergotong royong dan demokrasi, adat ini sentiasa dipertahankan keutuhan dan kewibawaannya.

Keturunan dalam adat perpatih adalah menerusi pihak perempuan.Menurut adat seseorang anak adalah masuk pihak ibunya dan dia dianggap tidak ada pertalian dengan suku bapanya. Adat ini amat besar pengaruhnya dalam kehidupan masyarakat yang berkenaan. Menurut hukum syarak seseorang itu boleh berkahwin dengan anak perempuan kakak atau adik ibunya. Tetapi perkahwinan semacam ini adalah dianggap sumbang pada sisi adat perpatih. Bagi mereka,anggota-anggota dalam satu suku semuanya dikira sangat rapat persaudaraannya iaitu disifatkan sebagai suatu keluarga besar. Sehubungan dengan ini masyarakat adat perpatih di anak lebih rapat lagi perhubungannya dengan bapa saudara sebelah ibu daripada bapa saudara sebelah bapanya.

Asal Nama Negeri Sembilan

Nama Negeri Sembilan mula digunakan pada abad ke-16 untuk merujuk kepada persekutuan negeri-negeri yang telah dibuka oleh orang Minangkabau di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Segamat yang kini menjadi sebahagian daripada Johor, Naning yang kini menjadi sebahagian daripada Melaka, Rembau, Sungai Ujong, Johol dan Jelebu yang kini adalah sebahagaian daripada Negeri Sembilan, Hulu Pahang dan Jelai yang kini menjadi sebahagian daripada Pahang, dan Kelang yang kini menjadi sebahagian daripada Selangor[1]. Saiz Negeri Sembilan sekarang lebih kecil berbanding dahulu Negeri Sembilan yang asal.

Yamtuan

Ketibaan Raja Melewar dari Pagar Ruyung, Minangkabau pada 1773, memulakan institusi beraja di Negeri Sembilan. Uniknya ialah raja di Negeri Sembilan adalah yang dijemput oleh pembesar-pembesar negeri (Penghulu) dari Pagar Ruyung dan dirajakan di Negeri Sembilan. Sebab itulah raja tidak digelar Sultan tetapi memakai gelaran Yang DiPertuan atau Yamtuan. Sedangkan semua negeri di Malaysia dan Brunei menggunakan istilah Sultan atau raja.

Struktur Masyarakat Adat Perpatih

Masyarakat Adat Perpatih terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu [[Perut Suku dan Luak. Perut adalah unit sosio-politik yang terkecil di mana anggota sesuatu perut itu adalah berasal daripada moyang (keturunan perempuan) yang sama. Mereka ini sangat rapat dan lazimnya tinggal di sesuatu perkampungan atau kawasan yang sama. Setiap perut mempunyai seorang ketua yang digelar Buapak.Buapak ini dipilih oleh anak-anak buah di dalam sesuatu perut berkenaan. Kumpulan yang kedua ialah suku. Suku dibentuk oleh beberapa perut yang menjadikan keluarga berkenaan semakin besar. Suku diketuai oleh seorang ketua yang digelar Dato’ Lembaga. Kumpulan ketiga ialah Luak. Luak adalah unit kawasan pentadbiran dari segi adat di mana ada empat luak utama iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu. Setiap luak diketuai oleh seorang Undang. Selain daripada empat luak utama ini ada satu lagi luak yang kelima dipanggil Luak Tanah Mengandung. Luak Tanah Mengandung ini adalah terdiri daripada lima luak kecil di Seri Menanti iaitu Luak Inas, Luak Ulu Muar, Luak Gunung Pasir, Luak Terachi dan Luak Jempol. Setiap luak kecil ini ditadbirkan oleh seorang ketua yang bergelar Penghulu Luak.

Adat Perpatih ini diwariskan dari generasi ke generasi melalui kata-kata perbilangan. Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka, perlantikan pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau melakukan kesalahan dan pelbagai aspek lagi. Setiap peraturan atau adat itu ada perbilangannya dan setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya hukum atau adat itu.

Perlantikan pemimpin, misalnya, banyak yang menyamakan sistem Adat Perpatih dengan amalan demokrasi. Contohnya ialah perlantikan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan di mana bukannya melalui keturunan dari bapa ke anak tetapi adalah melalui pemilihan oleh Undang Luak yang empat iaitu Undang Rembau, Undang Sungai Ujung, Undang Johol dan Undang Jelebu. Empat undang ini akan bermesyuarat untuk melantik salah seorang keturunan dari raja Pagar Ruyung untuk menjadi Yang DiPertuan. Undang Luak pula dilantik oleh Dato’-Dato’ Lembaga di luak (daerah) masing-masing. Dato’ Lembaga ini pula adalah pemimpin-pemimpin yang dilantik secara muafakat oleh pemimpin-pemimpin keluarga yang digelar Buapak. Oleh itu secara keseluruhannya kuasa melantik pemimpin itu sebenarnya berada di tangan rakyat biasa.Inilah satu sistem Adat Perpatih yang ada persamaan dengan demokrasi.

Prinsip-prinsip Adat Perpatih

Adat Perpatih mempunyai lima prinsip utama.

  1. Keturunan dikira melalui nasab ibu: Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada perempuan yang dianggap bonda kandung iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya.
  2. Tempat Kediaman adalah di kawasan ibu isteri: Apabila berlangsungnya sesuatu perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap di kawasan ibu isterinya sebagai orang semenda. Pada zaman dahulu si lelaki akan mengusahakan tanah keluarga isterinya.
  3. Perempuan mewarisi pusaka, lelaki menyandang saka: Hanya lelaki sahaja yang berhak menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala perempuan adalah mewarisi harta pusaka keluarga ibunya.
  4. Perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang: Dalam sesuatu perut dan suku, hubungan adalah rapat dan si lelaki menganggap perempuan dalam perut atau sukunya adalah saudara perempuannya. Begitu juga sebaliknya. Oleh itulah perkawinan sesama suku ini adalah terlarang. Perempuan yang berkahwin sesama suku akan hilang haknya untuk mewarisi harta pusaka ibunya manakala lelaki pula akan hilang hak untuk menyandang sebarang jawatan dalam adat.
  5. Orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku: Untuk tujuan perkahwinan atau waris mewarisi, dibenarkan orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan cara melalui upacara berkedim. Dalam upacara ini seseorang itu akan bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.

Pembahagian harta

Selalu menjadi topik perdebatan hangat mengenai Adat Perpatih adalah mengenai pemberian harta pusaka yang memberikan kelebihan kepada perempuan. Inilah satu-satunya isu dalam Adat Perpatih yang selalu disalah fahamkan. Sebenarnya, pemberian pesaka yang dimaksudkan dalam adat ini ialah pemberian tanah adat. Tanah adat ini adalah tanah yang turun temurun daripada nenek moyang sesuatu keluarga. Sebabnya tanah adat ini diberikan kepada perempuan ialah semata-mata untuk menjaga kehormatan dan maruah kaum wanita Adat Perpatih. Maksudnya, seorang wanita Adat Perpatih walau betapa miskin dan papa pun, dia tidak akan merempat atau menjual maruahnya untuk hidup. Jika dia pulang ke kampungnya dia sudah ada tanah kampung dan sawah untuk dikerjakan sebagai penyambung rezeki. Manakala anak lelaki pula dianggap lebih teguh dan tahu untuk terus berusaha untuk hidup (survival). Akan harta atau tanah yang diperolehi sebagai harta sepencarian maka pembahagiannya adalah menurut hukum faraid (tidak ada kena mengena dengan tanah adat yang hanya untuk perempuan sahaja).

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: